Monday, October 15, 2012

KEMAHAHIRAN DALAM PERMAINAN BOLA SEPAK 2


b) Menyerkap

Kebolehan menyerkap bola yang datang memudahkan seseorang permain itu melakukan tindakan yang seterusnya dalam permainan bola sepak. Pelbagai bahagian badan, kecuali tangan, boleh digunakan untuk menyerkap bola. Penggunaan bahagian anggota badan bergantung pada keadaan bola yang datang, sama ada meleret di atas padang atau tinggi di udara.

i) Menyerkap Bola Leret

Menyerkap bola leret boleh dilakukan dengan menggunakan bahagian  kaki, bahagian luar kaki, kekura kaki dan tapak kaki.

Teknik menyerkap bola leret

  • Kedudukan bersedia. Berdiri menghala ke arah bola datang. Mata memandang bola.
  • Apabila bola hampir, gerakkan kaki yang hendak menyerkap ke hadapan.
  • Sebaik sahaja bola menyentuh kaki, bawa kaki ke belakang.
  • Kaki menyentuh bahagian tengah bola. Kaki menyerkap dan badan condong ke arah bola datang.

ii) Menyerkap Bola Tinggi
Menyerkap bola tinggi boleh dilakukan dengan menggunakan bahagian dalam kaki, paha dan dada.

Teknik menyerkap bola tinggi menggunakan  bahagian dalam kaki

  • Kedudukan bersedia. Berdiri  menghala ke arah bola datang. Mata memandang bola.
  • Apabila bola hampir ke kaki, sesuaikan kedudukan supaya badan sentiasa menghadap bola.
  • Sebaik sahaja bola hampir mencecah tanah, ayunkan kaki menyerkap ke sisi.
  • Serkap bola sebaik sahaja bola mencecah tanah. Badan condong ke arah bola datang.
 
Teknik menyerkap bola tinggi menggunakan bahagian paha

  • Kedudukan bersedia. Berdiri menghala ke arah bola datang. Mata memandang bola.
  • Apabila bola hampir, gerakkan paha menyerkap ke hadapan dan ke atas dengan lutut bengkok. Badan dicondongkan ke belakang.
  • Sebaik sahaja bola menyentuh paha, bawa paha ke bawah. Paha menyentuh bahagian bawah bola.
 
Teknik menyerkap bola tinggi menggunakan bahagian dada

  • Kedudukan bersedia. Berdiri menghala ke arah bola datang. Mata memandang bola.
  • Apabila bola hampir ke dada, bawa dada ke hadapan dan ke atas sambil tangan dibuka di sisi badan. Berdiri di atas bebola kaki.
  • Sebaik sahaja bola menyentuh dada, lentikkan badan ke belakang kemudian bawa badan ke hadapan. 



Friday, October 12, 2012

KEMAHIRAN DALAM PERMAINAN BOLA SEPAK







Kemahiran yang perlu dikuasai dalam permainan bola sepak termasuklah menendang, menyerkap, menanduk, melakukan hantaran, mengelecek dan menjaga gol.

a) Menendang

                   Tendangan yang baik dapat dihasilkan dengan menggunakan teknik yang betul. Seseorang pemain juga dapat menendang dengan baik sekiranya mempunyai kekuatan otot dan kuasa yang baik di bahagian kaki. Menendang bertujuan untuk melakukan hantaran kepada rakan sepasukan, melakukan tendangan sudut atau tendangan bebas, mengeluarkan bola dari kawasan gol, menjaringkan gol dan melakukan sepakan penalti.

                    Pada asasnya terdapat tiga jenis tendangan iaitu tendangan leret, tendangan lambung dan tendangan voli.

i) Tendangan Leret
Tendangan leret dilakukan apabila membuat hantaran dekat dan menjaringkan gol.

Teknik melakukan tendang leret 
  • Kedudukan bersedia. letakkan kaki sokongan di sisi bola. Badan hampir lurus. Mata memandang bola.
  • Ayunkan kaki menendang ke belakang. Badan dibengkokkan sedikit.
  • Tendang di bahagian tengah bola.
  • Ikut lajak selepas melakuan tendangan. 














ii) Tendangan Lambung

Tendangan lambung dilakukan ketika membuat hantaran jauh, tendangan bebas, tendangan sudut, mengeluarkan bola dari kawasan gol dan semasa menjaringkan gol.

Teknik melakukan tendangan lambung
  • Kedudukan bersedia. Letakkan kaki sokongan di belakang bola. Badan hampir lurus. Mata memandang bola. 
  • Ayun kaki menendang ke belakang. Lutut kaki sokongan dibengkok sedikit. 
  • Tendang di bahagian bawah bola. Badan condong ke belakang. 
  •  Ikut lajak selepas melakukan tendangan.

iii) Tendangan Voli

Tendangan voli dilakukan untuk mengeluarkan bola dari kawasan gol dan untuk menjaring gol. Tendangan voli dilakukan menggunakan bahagian kaki semasa bola di udara.

Teknik melakukan tendangan voli   
  •  Kedudukan bersedia. Berdiri menghadap bola.
  • Ayunkan kaki menendang ke belakang. Lutut kaki sokongan dibengkokkan sedikit. Mata memandang bola.
  • Tendangan di bahagian bawah bola menggunakan kekura kaki. Badan condong ke belakang. 
  • Ikut lajak selepas melakukan tendangan.